Ahad,
Subjek hari ini ialah Aqidah dan Sirah.Setengah jam setiap satu subjek terasa sekejap untuk menerangkan dan menulis di papan hijau serta menunggu murid-murid menyalin.
Subtopik aqidah hari ini mengenai Rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada qada’ dan qadar.Seperti yang tertulis di dalam buku teks Kafa qada’ bermaksud suatu kejadian atau peristiwa yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali ;contohnya umur,rezeki dan rupa paras…
Manakala maksud qadar ialah suatu ketetapan berlakunya kejadian atau peristiwa tersebut ;contohnya Ahmad telah memenangi pertandingan melukis.
Firman Allah Taala ;
..dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan disisinya dengan qadar yang tertentu.(surah ar-raqd ayat-8 )
Bila menyuruh murid-murid menyalin dan membaca balik apa yang ditulis amat mudah tugasnya namun untuk menerangkan apakah maksud sebenar amat sukar kepada kanak-kanak berumur 10tahun.
Atau kesusahan dan kepayahan menyampaikan soal kepercayaan terhadap apa yang ditulis disebabkan kejahilan dan kelemahan diri saya semata-mata mungkin nyata.
Seperti sebelum memikul tugas mengajar ilmu fardhu ain ini saya seperti terasa satu beban di kepala dan takut akan berdosa kerana kekurangan ilmu dan juga amalan yang kurang.Ini kerana ilmu yang akan disampaikan adalah ilmu yang wajib dipelajari setiap mukmin.
Namun bila direnungkan kembali ini adalah satu jalan untuk saya sendiri cuba menerangkan kepada diri sendiri terlebih dahulu mengenai ilmu fardhu ain ini.Di harap murid-murid saya memahami apa yang disampaikan oleh saya.
Semoga Allah memberi kemudahan kepada saya untuk menyampaikan ilmuNya dan menganugerahkan kefahaman yang tinggi kepada murid-murid saya.InsyaAllah.
Maksud Qada’ dan Qadar ddari sumber lain;
Qada dan qadar adalah salah satu dari rukun iman yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang Islam. Penjelasan mengenai qada dan qadar ini ada dibicarakan di dalam kitab-kitab aqidah dan perbincangannya agak panjang dan adakalanya begitu susah untuk difahami oleh kebanyakkan orang terutamanya bagi sesiapa yang baru menjejakkan kaki dalam perbincangan ilmu aqidah secara mendalam.
Sememangnya perkara aqidah ini memerlukan penjelasan yang sejelas-jelasnya. Para ulama mengatakan bahawa adalah tidak harus sama sekali untuk bertakliq di dalam persoalan aqidah. Saya berharap dengan tulisan ringkas ini akan memberikan kefahaman yang sempurna kepada semua pembaca pada persoalan qada dan qadar ini. InsyaAllah.
ERTI DAN BAHAGIAN QADA DAN QADAR
Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud sukatan.Terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq.
Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku).Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain). Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa.
(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).
SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH TAALA
Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam pengetahuan Allah Taala. Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
ANTARA BENTUK KETAATAN
Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala. Firman Allah Taala bermaksud:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah: ayat 186).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat at-Tarmizi).
SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA
Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah Taala maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan doa. Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).
KONSEP QADA DAN QADAR
Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah:
- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini.
- Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
PERINGATAN
Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakkan para tok guru kita cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang lebar terutamanya kepada masyarakat awam.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila disebut tentang qadar maka diamlah…
(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).
PENUTUP
Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dengan lebih mendalam dan terperinci.
Sumber :http://www.islamgrid.gov.my/rukuniman/qadadanqadar.php
Pastinya sahabat semua maklum mengenai rukun iman ke enam yang wajib untuk kita beriman dan beramal dengannya iaitu percaya kepada qada’ dan qadar yakni kepada ketentuan dan sukatan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Soal mati, jodoh, rezeki semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfuzh sepertimana hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi:
‘Suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi shallallaahu’alaihi wa sallam lalu beliau bersabda :‘Hai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat (artinya): Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya kamu dapati Dia ada di hadapanmu, bila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan bila kamu minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahwa umat, seandainya mereka bersepakat untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan dapat memberimu manfaat apa-apa kecuali dengan apa yang telah Allah taqdirkan buatmu, dan seandainya mereka bersepakat untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu sedikitpun kecuali dengan apa yang Allah telah taqdirkan atasmu, pena-pena telah terangkat, dan lembar tulisan pun telah kering.’
Tidak saya berniat untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai qada’ dan qadar, tetapi sahabat boleh klik di sini untuk penjelasan lanjut mengenai rukun iman ke enam ini. Perkara yang ingin saya bincangkan di sini adalah bagaimana kita beramal dengan rukun iman ini.
Iman dan Amal
Acapkali apabila kita di uji kita disuruh untuk bersabar, selain bersabar Allah swt juga menganjurkan untuk kita bersolat (Al-Baqarah:45). Apabila kita bersabar, ia dikatakan sebagai sebahagian daripada iman,pernahkah sahabat persoalkan apakah kaitannya dengan iman?
Sabar dan Iman
Melalui jalan sabar ia membuka pintu untuk kita menerima dan redha pada ketentuan Allah swt yakni rukun iman yang ke enam.Tanpa sabar pastinya setiap diri yang di uji akan melatah dan tunduk pada pujukan dan hasutan syaitan yang durjana. Ketika diri di ujilah,segala bisikan syaitan akan cuba meracuni minda, pelbagai andaian yang timbul, kalaulah begini, kalaulah bagitu sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]
Hati juga mula merasa gelisah, solat tidak dirasakan khusyuk lagi dan kehidupan seluruhnya menjadi tidak menentu hanya kerana ujian yang menimpa. Maka Allah swt tekankan bahawa ‘sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;’ (Al-Baqarah:45) di dalam ayat yang sama.
Ini kerana apabila merasa beban ujian dari Allah swt semakin sukar dirasakan untuk menghadirkan hati dan memperoleh khusyuk ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang semakin rakus cuba untuk melemahkan lagi iman di hati.
Oleh itu, seharusnya kita sentiasa perlu menyedari keperluan untuk beramal dengan rukun iman ke enam ini dan bukan sekadar cukup untuk menghafalnya sahaja dari kecil sehingga dewasa tanpa ada sebarang tambahan nilai kepadanya. Moga dengan itu, apabila kita diduga oleh Allah swt kita sedar dan tidak terjerumus ke lembah yang hina.
Tiada siapa yang dapat lari dari ujian,bezanya adalah bagaimana seseorang hamba itu berdepan dan menghadapi ujian tersebut sepertimana Allah swt telah berfirman yang bermaksud:
‘Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).’ (Al-Baqarah:214)
Berpegang teguh kepada tali Allah swt
Hanya Allah swt yang mampu memberikan kekuatan kepada hati yang sememangnya dimilikiNya. Maka,apabila kita diuji oleh Allah swt seharusnya kita kembali merintih kepada Maha Pengasih dan bermuhasabah keadaan diri. Jangan pernah berputus asa kerana qada’ dan qadar yang ditetapkan pasti ada hikmahnya kerana Allah swt tidak akan menzalimi hamba-hambaNya sepertimana janjiNya dalam al-quran(Al-Imran:108).
Walaupun hakikat cubaan amat pahit untuk ditelan namun demi kebahagiaan yang lebih hakiki kita perlu untuk terus berpegang teguh kepada tali Allah swt, telusurilah perjalanan Rasulullah saw dan para sahabat yang hanya bertemankan jalan berduri dan bandingkanlah keadaan diri sendiri. Jangan pernah menipu dan mengaku bahawa ‘akulah orang yang paling malang di dunia’ kerana tiada yang lebih malang dari mereka yang jauh dari rahmat Allah swt yang dijanjikan azab yang kekal dan tidak terperi hebatnya.(Al-Imran:177)
Yakinlah ada pelangi di hujung jalan itu
Oleh itu marilah wahai sahabat semua, kita sematkan dan tambahkan keyakinan kita kepada rukun iman ke enam ini. Ketahuilah bahawa syurga yang penuh nikmat kebahagiaan dan kekal selama-lamanya itu hanya dijanjikan kepada meraka yang benar-benar layak sahaja.Dan jalan untuk melayakkan diri ke sana adalah melalui dugaan-dugaan yang diberikan di sepanjang kehidupan ini.
Walau apa jua dugaan yang kalian hadapi, ketahuilah Allah kan pasti sentiasa di sisimu, tersenyum melihat hambaNya yang sering bersyukur dan redha pada qada dan qadar Nya. Maka, tenanglah wahai jiwa-jiwa yang diuji.
Sumber :http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2232


